Cari Blog Ini

Rabu, 17 Mac 2010

Sejarah Kg. Tinangol

Terdapat tiga ujian untuk mengesahkan kesahihan maklumat sejarah (Usuran): Tempat, Masa dan Personaliti (orang). Kegagalan memenuhi salah satu syarat ini boleh menyebabkan usuran bertukar status menjadi cerita (tuturan) dan kegagalan memenuhi dua syarat ini menyebabkan cerita bertukar menjadi dongeng (tangon). Bagaimanapun sesetengah ahli sejarah berpendapat, sejarah harus disokong dengan rekod-rekod bertulis yang lain. Ini di sangkal oleh ahli-ahli sejarah yang berpendapat sekiranya sejarah lisan dapat memenuhi tiga syarat awal tersebut maka itu sudah layak sebagi maklumat sejarah. Penulisan bahagian ini mengambil pendekatan Pensejarahan Lisan yang diperolehi hasil daripada temuramah kepada penama-penama berikut, Aki Guda Kiduran, Amai Surumpit Montuku, Amai Mosungkoi Guda , Amai Kobuhe Magelin, Amai Milaad Sulod, Amai Sulindap Mangalis-Ketua Kampung Tinangol, Amai Monolinsig Mongingkap- Ketua Kampung Montuson dan Amai Majaun Manahut – Ketua Kampung Bawanggazo.
Nama Tinangol sebenarnya diambil sempena nama satu-satunya sungai yang menyusuri Lembah Tinangol iaitu Sungai Tinangol. Lembah inilah yang dikatakan Pomogunan Tinangol atau tempat orang-orang (Tinangol) membina dan meninggalkan rumah panjang mereka. Pogun dalam bahasa Rungus adalah bekas tempat tinggal atau bekas ladang. Orang luar memanggil orang-orang yang tinggal di sesuatu tempat berdasarkan nama pomogunan mereka. Maka ujudlah istilah Orang Tinangol atau lebih tepat lagi orang yang berasal dari Lembah Tinangol. Namun begitu, penduduk di satu-satu pomogunan, mempunyai nama-nama tempatan untuk tiap-tiap kawasan pomogunan mereka. Nama-nama inilah yang digunakan untuk merujuk kepada nama lokasi petempatan. Selain daripada pelbagai sebab kepercayaan, bahan binaan rumah panjang yang berasaskan kayu dan sumber alam semulajadi menyebabkan perpindahan dan pembinaan rumah panjang sering berlaku.
Nama Tinangol merujuk kepada peristiwa parang seorang pemuda yang terjatuh dalam sungai. Menurut cerita, ada seorang nenek sedang menyusun daun bogung untuk dibuat atap di tepi sebuah sungai yang sedang banjir. Tiba-tiba, nenek itu terdengar suara sekumpulan orang yang sedang menuju kearahnya. Memikirkan keselamatannya, nenek itu segera bersembunyi. Rupanya, kumpulan orang itu adalah tujuh orang pemuda yang merupakan adik beradik. Tanpa menyedari kehadiran nenek tersebut, pemuda-pemuda itu berbincang sesama sendiri bagaimana mereka hendak menyeberang sungai yang sedang banjir itu kerana semua titian sudah tenggelam atau hanyut dibawa arus. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk melompat ke seberang walaupun mereka kelihatan risau dengan keupayaan adik bongsu mereka melakukan lompatan itu. Abang yang sulung mengambil keputusan untuk melompat dahulu supaya adik-adik yang lebih muda dapat mengikuti jejak lompatannya. Lagipun, abang-abang yang lebih tua berpendapat, sekiranya mereka gagal melompat, mereka mempunyai kekuatan untuk berenang menyelamatkan diri. Akhirnya, kesemua enam beradik yang pertama berjaya melompat ke seberang. Akhirnya tibalah giliran adik yang paling bongsu. Tidak mahu ketinggalan, adik bongsu melompat sungai itu dengan sekuat tenaga tetapi hampir-hampir tidak sampai ke seberang sungai. Abang-abangnya cepat-cepat menariknya ke tepi sebelum adik bongsu di bawa arus. Mereka sungguh gembira kerana mereka semua dapat menyeberang dengan selamat. Tiba-tiba, adik bongsu menyedari bahawa parang yang terikat dipinggangnya rupanya telah terjatuh dalam sungai. Adik bongsu sangat sedih mengingatkan parang (dangol) kesayangannya . Parang itu telah banyak berjasa kepadanya. Melihat kesedihan adik bongsu, abang-abangnya telah bertungukus lumus mencari di tepian sungai tetapi tidak berjaya. Apabila hari semakin senja, abang sulung mengambil keputusan untuk menghentikan pencarian. Walaupun kecewa, mereka bercakap sesama sendiri bahawa bertuahlah manusia yang tinggal di lembah sungai itu kerana usaha mereka akan sentiasa diberkati. Rupanya tujuh adik beradik itu adalah jelmaan orang-orang yang dalam perjalanan pulang ke alam roh. Nenek tersebut yang menyaksikan semua kejadian itu, segera melaporkan perkara itu kepada pengetahuan orang-orang kampung. Untuk mengingati peristiwa tersebut, orang-orang kampung telah menamakan sungai tersebut sebagai Tinangol.

Bil Nama Vozoon Lokasi rumah panjang Tahun
01 Runsagan Vogkongon 1643-1703
02 Runsagan Timbang 1703-1733
03 Mologon Pinangagarangan(1) 1733-1763
04 Mologon Pinanangadan 1763-1813
05 Sulindag Mologon Kibonduk 1814-1830
06 Sulindag Mologon Kinodorunan 1831-1836
07 Sulindag Mologon Korunginan 1836-1846
08 Polinggi Sulindag Kinoburuvidon 1846-1855
09 Polinggi Sulindag Boruvas 1855-1870
10 Polinggi Sulindag Pinangagarangan(2) 1870-1880
11 Monguntup Polinggi Asaon 1881-1885
12 Monguntup Polinggi Rurumidi 1885-1888
13 Monguntup Polinggi Mononimbak 1888-1892
14 Monguntup Polinggi Durunai 1892-1899
15 Monguntup Polinggi Bogungon 1899-1903
16 Monguntup Polinggi Sinukab 1903-1905
17 Monguntup Polinggi Ombirog 1905-1913
18 Monguntup Polinggi Robidai 1913-1915
19 Monguntup Polinggi Gamut 1915-1918
20 Monguntup Polinggi Kapuk 1918-1920
21 Monguntup polinggi Tinagadan 1920-1924
22 Monguntup Polinggi Lisovu 1924-1926
23 Monguntup Polinggi Nizuw 1926-1928
24 Monguntup Polinggi Limpupu / Durunai 1928-1931
25 Monguntup Polinggi Lampaki 1931-1938
26 Majamin Tumbas Sinangkul 1938-1945
27 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Vavangazo 1945-1951
28 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Langkabang 1946-1953
29 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Kilabuk 1952-1955
30 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Sinangadan 1951-1954
31 Majamin Tumbas Montuson 1952-1960
32 Majmain Tumbas/
Magilin Masanid Pinaharas 1953-1957
33 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Nunuk 1953-1957
34 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Kapas 1954-1957
35 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Kampung Air 1957-1967
36 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Toborus 1965-1969
37 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Kg. Baru 1967-1970
38 Majamin Tumbas Kandang 1967-1980
39 Magilin Masanid Kandang 1967-1973
40 Tahanji Magilin Kandang/ perumahan 1976-1986
41 Turumpok Majipar Perumahan 1986-1991
42 Sabala Mukau Perumahan 1991-2007
43 Sulindap Mangalis Perumahan 2007- kini
44 Mosungkoi Guda Bavang Gazo 1985-2002
45 Majaun Manahut Bavang Gazo 2002- kini
46 Monolinsig Monginkap Montuson 1986- kini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan