Cari Blog Ini

Rabu, 17 Mac 2010

PCS di Kg. Tinangol




Semasa Rev. Hans Beinz tiba di Daerah Kudat pada tahun 1950an untuk melayani anggota-anggota Kristian BCCM berbangsa Cina di Pinangsoo. Atas permintaan jemaatnya, beliau telah melakukan peninjauan ke perkampungan di sekitar Daerah Kudat untuk diinjili. Orang-orang Cina melaporkan kepada beliau bahawa terdapat kaum “Lungus” yang tinggal di kawasan perkampungan yang masih mengamalkan kepercayaan tradisional. Melalui tinjauan awal ini, Beinz mengambil keputusan untuk memaklumkan Board of Mission di Basel, Switzerland dan memohon seorang pelayan yang boleh berkomunikasi dengan masyarakat ini di hantar untuk memulakan pelayanan. Pada tahun 1951, Rev Honegger bersama keluarganya dihantar ke Kudat. Beliau fasih berbahasa Melayu kerana telah lama bertugas di Indonesia. Beliau memulakan tinjauan awalnya dengan melawat Kg. Masangkung dan Dampirit. Mungkin pengalaman beliau di Masangkung telah mengajar beliau supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada ketua kampung sebelum masuk ke kawasan perkampungan. Melalui Rev. Bienz, Rev. Honegger telah meminta bantuan daripada Kapitan Wong Kiam Fook, Kaoitan Cina di Sikuati untuk menguruskan pertemuan dnegan ketua-ketua kampung masyarakat Rungus. Kapitan Wong bukan saja bersetuju malah beliau sanggup mengeluarkan perbelanjaan bagi pertemuan. Pada 1 Disember.1951, pertemuan pertama kali diantara ketua-ketua masyarakat Rungus dengan Rev. Honegger di sebuah garaj meletak kereta di Sikuati. Rev. Honegger menerangkan hasrat mission memberitakan Injil di kalangan masyarakat Rungus di daerah Kudat. Semua ketua kampung bersetuju meberikan kebenaran kepada Rev. Honegger untuk masuk ke perkampungan masing-masing. Berakhir saja pertemuan tersebut, Rev Honegger segera menyusun jadual untuk masuk ke perkampungan Rungus di mulai dengan kampung-kampung yang berhampiran dengan Kudat dan bergerak ke arah Matunggong dengan berjalan kaki atau menaiki perahu melalui jalan laut dan sungai. Melihat potensi pelayanan yang sangat besar di kawasan ini, beliau juga mengutus surat kepada Basel Mission untuk menghantar pelayan tambahan untuk membantu. Menjelang 1956, Kg. Tinangol telah dikunjungi oleh Rev. Heinrich Honneger dan Penginjil Majimil Tuorong. Penginjil Majimil (sekarang Pendeta dan Bapa PCS) merupakan keluarga Rungus yang pertama memeluk Kristian. Atas nasihat KK Magilin Masanid kepada anak anak buahnya, maka keluarga En Mozong Masibad atas pimpinan Penginjil Majaman Gombiluk telah menjadi keluarga pertama di Tinangol yang menjadi Kristian. Ini di disusuli oleh keluarga Pn Rupiya Lampaau, Keluarga En Sakim Lampaau, dan En Monolinsig Mongingkap. Pada masa itu, En Monolinsig sedang mengikuti kursus asas penginjilan di Sikuati. Pemuda pada waktu itu yang telah mengikuti jejak En Monolinsig ialah. En Porodong Magilin, En Opook Sokuroh, En Motoon Motindak, En Monguzog Minjam dan En Mongipat Mosubal. Semasa lawatan Rev Honegger di perkampungan di antara Kg. Rondomon dan Kg. Gombizau, beliau menyedari bahawa kawasan ini adalah terletak di kawasan yang mempunyai kepadatan perkampungan yang agak tinggi berbanding dengan kawasan lain serta boleh dikatakan terletak di tengah-tengah masyarakat Rungus di seluruh Daerah Kudat. Menjelang tahun 1957, Rev. Honegger telah meminta Rev Werner Sigrist untuk meninjau kawasan yang boleh dijadikan sebagai tapak untuk mendirikan pusat Pelayanan Mission di kawasan ini. Ketua Kampung Kg. Rondomon telah bersetuju memberikan sebidang tanah berkeluasan kira-kira tiga ekar kepada Rev. Sigrist tetapi di dapati tanah tersebut terlalu kecil untuk tujuan mission. Mission memerlukan diantara 50 hingga 100 ekar tanah. Rev. Sigrist yang pada masa itu diiringi oleh En. Porodong Magilin (sekarang Pendeta Tumpuk) telah meneruskan usaha mencari tapak tersebut di Kg. Gombizau dan Kg. Hobut tetapi gagal mendapat keizinan masyarakat tempatan. Menyedari keinginan para Mission ini, KK Magilin Masanid telah meminta pandangan anak-anak buahnya. Setelah berbincang secara panjang lebar, KK Magilin akhirnya memaklumkan mission bahawa penduduk Tinangol telah bersetuju untuk menyerahkan sebidang tanah di kawasan Bavanggazo berkeluasan kira-kira 50 ekar kepada mission. Pihak Mission kemudiannya membina sebuah sekolah pertanian (Farm School) yang bertujuan menggalakkan kaum Rungus terlibat dengan penanaman tanaman jualan. Sejak itu makin ramai penduduk kampung Tinangol yang menjadi Kristian .Menjelang tahun 1959 lahirlah jemaat PCS Tinangol secara rasmi dengan En. Mozong Masibad menjadi Ketua Gereja yang pertama. Menjelang 1962, KK Magilin sendiri menjadi Ketua Gereja menjadikan institusi kampung dan gereja diketuai oleh orang yang sama untuk pertama kali dalam sejarah PCS Tinangol. Sejak ini, kerjasama yang kuat antara gereja dan kampung di Kg. Tinangol telah diasaskan dan kerjasama ini masih kelihatan hingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, hanya pada 1968 barulah PCS Tinangol mempunyai bangunan gereja sendiri. Melihat kepada pemikiran penduduk Tinangol yang lebih pragmatik, pihak mission telah meletakkan Lembah Tinangol sebagai kawasan yang penting untuk pelayanan-pelayanan yang lain. Apabila ada permintaan untuk membina Sekolah Rendah dan Klinik Kesihatan, pihak mission tidak teragak-agak untuk memilih Lembah Tinangol sebagai tapak pembinaan kemudahan-kemudahan ini. (lihat keterangan lanjut mengenai perkara ini dalam bahagian seterusnya). Kg. Tinangol juga dipilih sebagai Pusat Pentadbiran Pelayanan Mission dan dinaiktaraf sebagai Parokhi dan Rev. Sigrist sendiri menjadi Penjaga parokhi yang pertama.

Sejarah Kg. Tinangol

Terdapat tiga ujian untuk mengesahkan kesahihan maklumat sejarah (Usuran): Tempat, Masa dan Personaliti (orang). Kegagalan memenuhi salah satu syarat ini boleh menyebabkan usuran bertukar status menjadi cerita (tuturan) dan kegagalan memenuhi dua syarat ini menyebabkan cerita bertukar menjadi dongeng (tangon). Bagaimanapun sesetengah ahli sejarah berpendapat, sejarah harus disokong dengan rekod-rekod bertulis yang lain. Ini di sangkal oleh ahli-ahli sejarah yang berpendapat sekiranya sejarah lisan dapat memenuhi tiga syarat awal tersebut maka itu sudah layak sebagi maklumat sejarah. Penulisan bahagian ini mengambil pendekatan Pensejarahan Lisan yang diperolehi hasil daripada temuramah kepada penama-penama berikut, Aki Guda Kiduran, Amai Surumpit Montuku, Amai Mosungkoi Guda , Amai Kobuhe Magelin, Amai Milaad Sulod, Amai Sulindap Mangalis-Ketua Kampung Tinangol, Amai Monolinsig Mongingkap- Ketua Kampung Montuson dan Amai Majaun Manahut – Ketua Kampung Bawanggazo.
Nama Tinangol sebenarnya diambil sempena nama satu-satunya sungai yang menyusuri Lembah Tinangol iaitu Sungai Tinangol. Lembah inilah yang dikatakan Pomogunan Tinangol atau tempat orang-orang (Tinangol) membina dan meninggalkan rumah panjang mereka. Pogun dalam bahasa Rungus adalah bekas tempat tinggal atau bekas ladang. Orang luar memanggil orang-orang yang tinggal di sesuatu tempat berdasarkan nama pomogunan mereka. Maka ujudlah istilah Orang Tinangol atau lebih tepat lagi orang yang berasal dari Lembah Tinangol. Namun begitu, penduduk di satu-satu pomogunan, mempunyai nama-nama tempatan untuk tiap-tiap kawasan pomogunan mereka. Nama-nama inilah yang digunakan untuk merujuk kepada nama lokasi petempatan. Selain daripada pelbagai sebab kepercayaan, bahan binaan rumah panjang yang berasaskan kayu dan sumber alam semulajadi menyebabkan perpindahan dan pembinaan rumah panjang sering berlaku.
Nama Tinangol merujuk kepada peristiwa parang seorang pemuda yang terjatuh dalam sungai. Menurut cerita, ada seorang nenek sedang menyusun daun bogung untuk dibuat atap di tepi sebuah sungai yang sedang banjir. Tiba-tiba, nenek itu terdengar suara sekumpulan orang yang sedang menuju kearahnya. Memikirkan keselamatannya, nenek itu segera bersembunyi. Rupanya, kumpulan orang itu adalah tujuh orang pemuda yang merupakan adik beradik. Tanpa menyedari kehadiran nenek tersebut, pemuda-pemuda itu berbincang sesama sendiri bagaimana mereka hendak menyeberang sungai yang sedang banjir itu kerana semua titian sudah tenggelam atau hanyut dibawa arus. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk melompat ke seberang walaupun mereka kelihatan risau dengan keupayaan adik bongsu mereka melakukan lompatan itu. Abang yang sulung mengambil keputusan untuk melompat dahulu supaya adik-adik yang lebih muda dapat mengikuti jejak lompatannya. Lagipun, abang-abang yang lebih tua berpendapat, sekiranya mereka gagal melompat, mereka mempunyai kekuatan untuk berenang menyelamatkan diri. Akhirnya, kesemua enam beradik yang pertama berjaya melompat ke seberang. Akhirnya tibalah giliran adik yang paling bongsu. Tidak mahu ketinggalan, adik bongsu melompat sungai itu dengan sekuat tenaga tetapi hampir-hampir tidak sampai ke seberang sungai. Abang-abangnya cepat-cepat menariknya ke tepi sebelum adik bongsu di bawa arus. Mereka sungguh gembira kerana mereka semua dapat menyeberang dengan selamat. Tiba-tiba, adik bongsu menyedari bahawa parang yang terikat dipinggangnya rupanya telah terjatuh dalam sungai. Adik bongsu sangat sedih mengingatkan parang (dangol) kesayangannya . Parang itu telah banyak berjasa kepadanya. Melihat kesedihan adik bongsu, abang-abangnya telah bertungukus lumus mencari di tepian sungai tetapi tidak berjaya. Apabila hari semakin senja, abang sulung mengambil keputusan untuk menghentikan pencarian. Walaupun kecewa, mereka bercakap sesama sendiri bahawa bertuahlah manusia yang tinggal di lembah sungai itu kerana usaha mereka akan sentiasa diberkati. Rupanya tujuh adik beradik itu adalah jelmaan orang-orang yang dalam perjalanan pulang ke alam roh. Nenek tersebut yang menyaksikan semua kejadian itu, segera melaporkan perkara itu kepada pengetahuan orang-orang kampung. Untuk mengingati peristiwa tersebut, orang-orang kampung telah menamakan sungai tersebut sebagai Tinangol.

Bil Nama Vozoon Lokasi rumah panjang Tahun
01 Runsagan Vogkongon 1643-1703
02 Runsagan Timbang 1703-1733
03 Mologon Pinangagarangan(1) 1733-1763
04 Mologon Pinanangadan 1763-1813
05 Sulindag Mologon Kibonduk 1814-1830
06 Sulindag Mologon Kinodorunan 1831-1836
07 Sulindag Mologon Korunginan 1836-1846
08 Polinggi Sulindag Kinoburuvidon 1846-1855
09 Polinggi Sulindag Boruvas 1855-1870
10 Polinggi Sulindag Pinangagarangan(2) 1870-1880
11 Monguntup Polinggi Asaon 1881-1885
12 Monguntup Polinggi Rurumidi 1885-1888
13 Monguntup Polinggi Mononimbak 1888-1892
14 Monguntup Polinggi Durunai 1892-1899
15 Monguntup Polinggi Bogungon 1899-1903
16 Monguntup Polinggi Sinukab 1903-1905
17 Monguntup Polinggi Ombirog 1905-1913
18 Monguntup Polinggi Robidai 1913-1915
19 Monguntup Polinggi Gamut 1915-1918
20 Monguntup Polinggi Kapuk 1918-1920
21 Monguntup polinggi Tinagadan 1920-1924
22 Monguntup Polinggi Lisovu 1924-1926
23 Monguntup Polinggi Nizuw 1926-1928
24 Monguntup Polinggi Limpupu / Durunai 1928-1931
25 Monguntup Polinggi Lampaki 1931-1938
26 Majamin Tumbas Sinangkul 1938-1945
27 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Vavangazo 1945-1951
28 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Langkabang 1946-1953
29 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Kilabuk 1952-1955
30 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Sinangadan 1951-1954
31 Majamin Tumbas Montuson 1952-1960
32 Majmain Tumbas/
Magilin Masanid Pinaharas 1953-1957
33 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Nunuk 1953-1957
34 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Kapas 1954-1957
35 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Kampung Air 1957-1967
36 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Toborus 1965-1969
37 Majamin Tumbas/
Magilin Masanid Kg. Baru 1967-1970
38 Majamin Tumbas Kandang 1967-1980
39 Magilin Masanid Kandang 1967-1973
40 Tahanji Magilin Kandang/ perumahan 1976-1986
41 Turumpok Majipar Perumahan 1986-1991
42 Sabala Mukau Perumahan 1991-2007
43 Sulindap Mangalis Perumahan 2007- kini
44 Mosungkoi Guda Bavang Gazo 1985-2002
45 Majaun Manahut Bavang Gazo 2002- kini
46 Monolinsig Monginkap Montuson 1986- kini

Kedudukan Kampung Tinangol dari Segi Geografi.


Kampung Tinangol adalah sebuah petempatan Kaum Rungus yang terletak dikawasan pentabiran Negeri Sabah dalam kawasan Daerah Kecil Matunggong. Jaraknya daripada pusat pentabiran Daerah kecil Matunggong adalah kira kira 5 kilometer. Dan jaraknya daripada pusat pentabiran Daerah Kudat adalah 40 kilometer. Kampung Tinangol boleh dihubungi melalui jalan raya kudat-Kota Kinabalu.
Seperti kebiasaan petempatan tradisi masyarakat Rungus, Kg. Tinangol terletak di sebuah lembah yang dikelilingi oleh tanah tinggi. Di sebelah barat, terletak Bukit Gumantung yang mempunyai ketinggian sekitar 450 meter dan merupakan antara puncak tertinggi di Daerah Kecil Matunggong. Di sebelah Selatan, terletak mini banjaran Kialas yang juga merupakan sempadan antara Kg. Tinangol dan Kg. Panudahan dan Andarason Darat. Di sebelah utara, terletak bukit Borud serta bukit-bukit berhampiran yang menjadi sempadan kampung ini dengan Kg. Suvil, Kg. Garau dan Kg. Kabangaan. Kawasan timur pula agak rata, dan di sinilah Sungai Tinangol keluar ke arah Kg. Rondomon dan Kg. Jagil dari Lembah Tinangol sebelum keluar ke Laut China Selatan.
Keluasan lembah Tinangol dianggarkan sekitar 25 kilometer persegi. Keluasan ini boleh dikatakan agak besar dan tidak hairanlah, Lembah Tinangol mampu menampung keperluan pertanian untuk penduduk yang agak ramai. Kampung ini adalah merupakan antara kampung yang mempunyai penduduk paling tinggi. Sehingga 2009, keluarga yang bermastautin di Tinangol adalah sekitar 200 keluarga, (bancian kampung 2007 adalah 188 keluarga) tidak termasuk keluarga yang tinggal di luar kampung seperti di sekitar Kudat, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Jumlah penduduk pemastautin di kampung ini melebihi 1000 orang. Pengundi berdaftar di Kg. Tinangol sahaja adalah sekitar 400 orang. Kg. Hobut adalah antara kampung yang dahulunya merupakan sebahagian penduduk Kg. Tinangol tapi kini merupakaan sebuah kampung sendiri. Pembinaan kampung-kampung baru di dalam lembah Tinangol masih berlaku pada hari ini. Antara kampung yang baru ialah Kg. Bavanggazo dan Kg. Montuson. Kedua-dua kampung ini mempunyai Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing. Bagai manapun kecuali Kg. Hobut, penduduk di kampung-kampung baru ini masih lebih suka menggunakan Tinangol sebagai identiti kampung.