Cari Blog Ini

Rabu, 17 Mac 2010

PCS di Kg. Tinangol




Semasa Rev. Hans Beinz tiba di Daerah Kudat pada tahun 1950an untuk melayani anggota-anggota Kristian BCCM berbangsa Cina di Pinangsoo. Atas permintaan jemaatnya, beliau telah melakukan peninjauan ke perkampungan di sekitar Daerah Kudat untuk diinjili. Orang-orang Cina melaporkan kepada beliau bahawa terdapat kaum “Lungus” yang tinggal di kawasan perkampungan yang masih mengamalkan kepercayaan tradisional. Melalui tinjauan awal ini, Beinz mengambil keputusan untuk memaklumkan Board of Mission di Basel, Switzerland dan memohon seorang pelayan yang boleh berkomunikasi dengan masyarakat ini di hantar untuk memulakan pelayanan. Pada tahun 1951, Rev Honegger bersama keluarganya dihantar ke Kudat. Beliau fasih berbahasa Melayu kerana telah lama bertugas di Indonesia. Beliau memulakan tinjauan awalnya dengan melawat Kg. Masangkung dan Dampirit. Mungkin pengalaman beliau di Masangkung telah mengajar beliau supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada ketua kampung sebelum masuk ke kawasan perkampungan. Melalui Rev. Bienz, Rev. Honegger telah meminta bantuan daripada Kapitan Wong Kiam Fook, Kaoitan Cina di Sikuati untuk menguruskan pertemuan dnegan ketua-ketua kampung masyarakat Rungus. Kapitan Wong bukan saja bersetuju malah beliau sanggup mengeluarkan perbelanjaan bagi pertemuan. Pada 1 Disember.1951, pertemuan pertama kali diantara ketua-ketua masyarakat Rungus dengan Rev. Honegger di sebuah garaj meletak kereta di Sikuati. Rev. Honegger menerangkan hasrat mission memberitakan Injil di kalangan masyarakat Rungus di daerah Kudat. Semua ketua kampung bersetuju meberikan kebenaran kepada Rev. Honegger untuk masuk ke perkampungan masing-masing. Berakhir saja pertemuan tersebut, Rev Honegger segera menyusun jadual untuk masuk ke perkampungan Rungus di mulai dengan kampung-kampung yang berhampiran dengan Kudat dan bergerak ke arah Matunggong dengan berjalan kaki atau menaiki perahu melalui jalan laut dan sungai. Melihat potensi pelayanan yang sangat besar di kawasan ini, beliau juga mengutus surat kepada Basel Mission untuk menghantar pelayan tambahan untuk membantu. Menjelang 1956, Kg. Tinangol telah dikunjungi oleh Rev. Heinrich Honneger dan Penginjil Majimil Tuorong. Penginjil Majimil (sekarang Pendeta dan Bapa PCS) merupakan keluarga Rungus yang pertama memeluk Kristian. Atas nasihat KK Magilin Masanid kepada anak anak buahnya, maka keluarga En Mozong Masibad atas pimpinan Penginjil Majaman Gombiluk telah menjadi keluarga pertama di Tinangol yang menjadi Kristian. Ini di disusuli oleh keluarga Pn Rupiya Lampaau, Keluarga En Sakim Lampaau, dan En Monolinsig Mongingkap. Pada masa itu, En Monolinsig sedang mengikuti kursus asas penginjilan di Sikuati. Pemuda pada waktu itu yang telah mengikuti jejak En Monolinsig ialah. En Porodong Magilin, En Opook Sokuroh, En Motoon Motindak, En Monguzog Minjam dan En Mongipat Mosubal. Semasa lawatan Rev Honegger di perkampungan di antara Kg. Rondomon dan Kg. Gombizau, beliau menyedari bahawa kawasan ini adalah terletak di kawasan yang mempunyai kepadatan perkampungan yang agak tinggi berbanding dengan kawasan lain serta boleh dikatakan terletak di tengah-tengah masyarakat Rungus di seluruh Daerah Kudat. Menjelang tahun 1957, Rev. Honegger telah meminta Rev Werner Sigrist untuk meninjau kawasan yang boleh dijadikan sebagai tapak untuk mendirikan pusat Pelayanan Mission di kawasan ini. Ketua Kampung Kg. Rondomon telah bersetuju memberikan sebidang tanah berkeluasan kira-kira tiga ekar kepada Rev. Sigrist tetapi di dapati tanah tersebut terlalu kecil untuk tujuan mission. Mission memerlukan diantara 50 hingga 100 ekar tanah. Rev. Sigrist yang pada masa itu diiringi oleh En. Porodong Magilin (sekarang Pendeta Tumpuk) telah meneruskan usaha mencari tapak tersebut di Kg. Gombizau dan Kg. Hobut tetapi gagal mendapat keizinan masyarakat tempatan. Menyedari keinginan para Mission ini, KK Magilin Masanid telah meminta pandangan anak-anak buahnya. Setelah berbincang secara panjang lebar, KK Magilin akhirnya memaklumkan mission bahawa penduduk Tinangol telah bersetuju untuk menyerahkan sebidang tanah di kawasan Bavanggazo berkeluasan kira-kira 50 ekar kepada mission. Pihak Mission kemudiannya membina sebuah sekolah pertanian (Farm School) yang bertujuan menggalakkan kaum Rungus terlibat dengan penanaman tanaman jualan. Sejak itu makin ramai penduduk kampung Tinangol yang menjadi Kristian .Menjelang tahun 1959 lahirlah jemaat PCS Tinangol secara rasmi dengan En. Mozong Masibad menjadi Ketua Gereja yang pertama. Menjelang 1962, KK Magilin sendiri menjadi Ketua Gereja menjadikan institusi kampung dan gereja diketuai oleh orang yang sama untuk pertama kali dalam sejarah PCS Tinangol. Sejak ini, kerjasama yang kuat antara gereja dan kampung di Kg. Tinangol telah diasaskan dan kerjasama ini masih kelihatan hingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, hanya pada 1968 barulah PCS Tinangol mempunyai bangunan gereja sendiri. Melihat kepada pemikiran penduduk Tinangol yang lebih pragmatik, pihak mission telah meletakkan Lembah Tinangol sebagai kawasan yang penting untuk pelayanan-pelayanan yang lain. Apabila ada permintaan untuk membina Sekolah Rendah dan Klinik Kesihatan, pihak mission tidak teragak-agak untuk memilih Lembah Tinangol sebagai tapak pembinaan kemudahan-kemudahan ini. (lihat keterangan lanjut mengenai perkara ini dalam bahagian seterusnya). Kg. Tinangol juga dipilih sebagai Pusat Pentadbiran Pelayanan Mission dan dinaiktaraf sebagai Parokhi dan Rev. Sigrist sendiri menjadi Penjaga parokhi yang pertama.